title pertubuhan

title pertubuhan

Bismillah

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Tuesday, 31 December 2013

SOROTAN 2013 BHG 03

Maha Suci Allah, Tuhan Pencipta Alam. Sehari sebelum tiba 2014 penulis akan terus menulis lagi berkaitan sorotan 2013. Kita sudah mengetahui bilakah Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng mejadi sebuah pertubuhan rasmi dan mereka ajk penaja komited dalam menjayakan 'Annual Grand Meeting' atau Mesyuarat Agung Tahunan kali pertama walaupun hanya sekali mesyuarat 'formal' diadakan namun perbincangan 'informal' di laman maya dan peranti elektronik kerap mereka gunakan. Maka pada 14 September 2013 bersamaan hari sabtu bertempat di dewan yang mengimbau sejuta kenangan iaitu Dewan Ibnu Sina, SBP Integrasi Gopeng menjadi saksi kepada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng.

(Sekadar ilustrasi penulis)

Alhamdulillah, seramai 50 alumni SBP Integrasi Gopeng menyertai mesyuarat yang julung kali diadakan dengan pemilihan semula ahli jawatankuasa yang baru bagi menggantikan ahli jawatankuasa penaja. Selain proses pemilihan, beberapa perkara turut dibahaskan dan dibincangkan seperti halatuju, yuran, aktiviti dan lain2. Tahniah diucapkan buat ahli jawatankuasa yang dilantik bagi penggal 2013-2015 semoga mereka dapat berkidmat sebaiknya.

Gambar2 sekitar AGM



(ucapan perasmian)



(ahlijawatankuasa penaja sebelum pembubaran)



(ahlijawatankuasa yang baru dilantik)


(penyerahan tugas daripada Saudara Ismail kepada Saudara Firdaus)


(usai mesyuarat jamuan disediakan)


(ramah mesra alumni bersama dengan pihak sekolah)


(keseluruhan hadirin bergambar bersama sebelum bersurai)

Hasil dari AGM ini bukan sahaja menjadi satu pelengkap kepada sebuah organisasi malah juga menjadi medan buat warga alumni SBPI Gopeng untuk bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan yang mantap. Segala usul yang dibahaskan dapat dijadikan bimbingan dalam membawa pertubuhan ke satu aras yang lebih tinggi.

Beberapa hari selepas itu, atau lebih spesifik iaitu pada 18 September 2013, dunia Gopeng dan sekitarnya menerima perkhabaran yang sangat menggembirakan iaitu pengumuman SBP Integrasi Gopeng sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi melalui satu majlis anugerah yang diadakan di Putrajaya. Seluruh warga yang pernah menghuni bumi yang bertuah itu turut merasai kegembiraan itu. Sememangnya usaha keras warga SBP Integrasi Gopeng yang tidak mengenal erti penat dan jemu amatlah bernilai dan diingati sepanjang zaman.


Ikuti Bahagian 04 @ akhir akan datang





Saturday, 28 December 2013

SOROTAN 2013 BHG 02

Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Menyambung sorotan 2013 dengan peristiwa yang terpenting dalam sejarah Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng iaitu lahirnya secara rasmi dan didaftarkan secara rasmi pada 15 Mei 2013. Alhamdulillah, segala usaha yang telah dikerahkan sama ada berbentuk fizikal, moral ataupun material memberikan makna yang besar. Bermula dari saat kelahiran inilah SBP Integrasi sudah ada entiti khas yang mewakili khas bekas pelajar sebagaimana pertubuhan2 bekas pelajar lain. Semoga usaha awal ini diberkati dan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa kelak.


Selepas pertubuhan sudah ditubuhkan secara rasmi, usaha ajk penaja tidak ternokta disitu sahaja. Malah, tugas besar menanti mereka iaitu menganjurkan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang pertama. Disitu baru proses penyerahan tugas dari ajk penaja kepada ajk yang baru dilantik. Justeru, satu lagi mesyuarat jawatankuasa penaja diadakan bagi menyusun atur gerak kerja bagi melaksanakan AGM yang bakal berlangsung kelak.


Bertempat di Secret Recipe KL Sentral, Kuala Lumpur pada 23 Jun 2013, mesyuarat jawatankuasa penaja turut dihadiri beberapa alumni SBP Integrasi Gopeng yang berkelapangan hadir untuk memberi sokongan. Kehadiran mereka amatlah dialukan kerana lebih banyak pendapat dan idea dapat dilontarkan bagi menjayakan AGM pertama itu nanti. Di samping itu, kehadiran mereka juga dapat merapatkan hubungan antara warga alumni SBP Integrasi Gopeng meskipun berlainan 'batch' dan berbeza usia namun itu tidak menghalang untuk mereka bersama demi sekolah yang tercinta.

Tahun 2013 juga menyaksikan penganjuran Futsal Alumni yang turut disokong oleh Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng. Meskipun diadakan selepas Hari Raya Aidil Fitri, namun ia tidak menghalang semangat kesukanan warga alumni SBP Integrasi Gopeng untuk bersama beriadah.




Tahniah buat mereka yang menganjurkan dan menyertai kejohanan ini. Semoga kejohanan yang diadakan julung kali ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan acara tahunan bagi merapatkan lagi ukhuwah sesama Alumni SBP Integrasi Gopeng. Tidak mustahil sukan2 lain juga boleh dianjurkan atas semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan sesama insan.

Menyusul Bahagian 03

Thursday, 26 December 2013

SOROTAN 2013 BHG 01

Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Alhamdulillah 2013 bakal berlabuh maka 2014 bakal membuka lembaran baru buat semua insan. Apa yang telah dilalui telah menjadi lipatan sejarah masing-masing begitu juga Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng yang dilahirkan pada 2013 juga yang juga mempunyai pelbagai peristiwa penting di dalamnya. Eloklah penulis menghuraikan secara lanjut berkenaan setiap titik penting dalam tahun 2013 kerana titik penting ini juga bersangkut paut dengan sejarah kelahiran Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng.

Bermula pada 18 Januari 2013 pihak sekolah memerlukan sumbangan papan notis dari alumni bagi dipasang di sekitar sekolah dan disahut permintaan pihak sekolah  oleh alumni-alumni SBP Integrasi Gopeng bagi menjayakan hasrat itu. Ia menjadi antara perhubungan awal antara pihak sekolah dan alumni bagi kearah kerjasama yang lebih erat kerana SBP Integrasi Gopeng telah tercalon untuk menjadi antara Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada waktu itu.

 Dengan kegigihan beberapa individu yang ingin merealisasikan penubuhan sebuah entiti yang dapat mewakili segenap alumni SBP Integrasi Gopeng, pertemuan pertama diadakan pada 20 Februari 2013 bagi mendapatkan pandangan serta berkongsi idea ke arah menubuhkan entiti Pertubuhan Alumni Integrasi Gopeng.



Bertitik tolak dari pertemuan itu, satu jemputan dikeluarkan pada 28 Februari 2013 kepada seluruh alumni SBP Integrasi Gopeng untuk mengadiri Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Penaja bagi menyusun atur gerak organisasi dari proses pendaftaran hinggalah satu meyuarat agung diadakan selepas pendaftaran diluluskan.Alhamdulillah, bertempat Kenny Roger's KL Sentral Kuala Lumpur pada 4 Mac 2013 menjadi medan permulaan rasmi kepada penubuhan pertubuhan dengan perlantikan ahli jawatankuasa penaja bagi mendaftarkan pertubuhan dibawah ROS.



Berikut adalah senarai ahli jawatankuasa penaja bagi Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng :


  • Pengerusi : Saudara Ismail Ali Mohd Jobran
  • Naib Pengerusi : Saudara Mohamad Hasri Furqon Ahmad
  • Setiausaha : Saudara Ahmad Firdaus Kamarazaman
  • Naib Setiausaha : Saudara Muhammad Haziq Abdul Ghani
  • Bendahari : Saudara Adam Khairuddin
  • AJK : Akmal Ibrahim, Muizzudin Mahamud, Mashita Yunoos

Alhamdulillah, mesyuarat berjalan dengan lancar dan segala proses dokumentasi yang diperlukan untuk pendaftaran juga berjaya dilakukan semasa dan selepas mesyuarat.

Selain itu, projek memasang papan notis LED juga juga menjadi keutamaan dengan pelancaran kutipan dana bagi membiayai projek ini pada 15 Mei 2013 dengan Saudara Hasri Furqon diamanahkan untuk mengumpulkan dana berkenaan sehingga mencukupi. Alhamdulillah, dana yang dikumpulkan mencapai sasaran dan sedang menjalani proses akhir untuk tempahan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.


 Bahagian 2 akan datang

Friday, 13 December 2013

SIAPA KAMI?

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Coretan hari ini ingin memperkenalkan Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng buat semua kerana tertubuhnya pertubuhan ini bukan sahaja untuk menjadi wadah kepada warga alumni untuk bersama malah dapat memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat secara amnya. Matlamat penubuhan Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng tidak jauh berbeza dengan pertubuhan sekolah lain dan berfungsi sebagai jambatan menghubungkan mantan pelajar dengan pihak sekolah. Ini amat signifikan kerana meskipun seseorang itu sudah lama menghabiskan persekolahan di situ untuk jangka masa yang tertentu namun dia masih boleh berhubung dengan sekolah dan dapat memberikan sesuatu untuk pihak sekolah.

Tidak dinafikan ada sesetengah individu yang menganggap tamat zaman sekolah bererti tamat segala berkaitan dengannya namun apalah salahnya jika kita dapat membantu sesuatu terhadap tempat yang kita dapatkan ilmu yang tak ternilai harganya. Terimalah hakikat bahawa segala pahit dan manis yang telah dilalui pada masa dahulu menjadi pengalaman yang berharga dengan menjadi insan pada hari ini. Meskipun sudah berpuluh tahun sekalipun tamat persekolahan, kita masih membawa identiti SBP Integrasi Gopeng yang tercinta di luar. Tiadalah ruginya untuk kita bersama kerana setiap perbuatan baik kita lakukan tak kira pada siapa pun akan menjadi sedekah yang dapat membantu kita di akhirat kelak.

Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng juga ditubuhkan bagi menjadi pemudah cara bagi warga alumni yang hendak menyumbang sesuatu untuk pihak sekolah. Membantu secara individu mungkin amat sukar namun jika digerakkan sebagai satu pasukan ia akan menjadi lebih efektif dan secara tidak langsung kita dapat menggembleng pelbagai kemahiran dan sumber serta dapat disalurkan secara berterusan. Sumbagan bukan sahaja bertumpu kepada kemahiran dan pengetahuan, malah dalam bentuk material yang mungkin diperlukan untuk pelajar SBP Integrasi Gopeng serta pengalaman yang boleh menjadi panduan kepada adik-adik selepas sekolah kelak.

Akhir coretan hari ini semoga Pertubuhan Alumni SBP Integrasi Gopeng dapat berada sebaris dengan nama besar pertubuhan alumni sekolah lain yang kini dinaungi bekas pelajar yang kini menjadi orang yang berjaya dalam bidang yang tertentu seperti ekonomi,sains, politik, sosial, seni dan lain2 lagi. Mereka ini meskipun sibuk dalam bidang yang mereka ceburi namun apabila disebut berkenaan sekolah pasti mereka akan meluangkan masa berharga mereka meskipun seketika untuk bersama dan sudi untuk menyumbang apa sahaja yang mampu untuk sekolah. 

#pengenalan #alumnisbpigopeng #blogalumnisbpigopeng #sayasayangsekolahsaya